
Lidik24jam.com : Malaysia
Kuala Lumpur, 30 Jun 2025 – Ketua Polis Negara (KPN), IG Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail telah menjadi saksi bagi serah terima tugas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dalam sebuah majlis yang diadakan di Dewan Theatrette, Menara 1, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, di sini, pagi tadi.
Ia bersempena pelantikan CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain sebagai Ketua Pengarah baharu yang akan menerajui Agensi Keselamatan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggantikan Dato’ Sri Hazani Ghazali yang juga merupakan nama besar dalam barisan kepimpinan tertinggi PDRM sebelum ini.
Terdahulu ketibaan Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid bersama isteri merangkap Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Malaysia, Datin Sri Hjh. Munirah Che Rose disambut oleh Timbalan KPN, DIG Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Pengurusan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, CP Dato’ Abdul Aziz Abdul Majid.
Acara dimulakan dengan sesi menandatangani dan penyerahan dokumen serah terima tugas disusuli dengan penyerahan tongkat kuasa di antara Pengarah JSJ, CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain dengan Timbalan Pengarah Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi), DCP Dato’ Fadil Marsus yang kini memangku jawatan tersebut. Kedua-dua acara tersebut disaksikan oleh Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid.
Berucap dalam majlis tadi, Dato’ Sri Hj. Mohd Khalid menyifatkan sepanjang tempoh Dato’ Sri Mohd Shuhaily memegang tampuk kepimpinan JSJ, beliau kekal ampuh bersama PDRM menghadapi pelbagai kes jenayah berprofil tinggi yang bukan sahaja menguji kemampuan beliau sebagai orang nombor satu jabatan sebaliknya membuka mata masyarakat dan pemimpin negara tentang kredibiliti Pasukan khususnya JSJ.
“Pertukaran tampuk kepimpinan yang berlangsung pada hari ini bukanlah sekadar satu urusan pentadbiran, tetapi ia juga adalah satu langkah strategik menyebarluas ciri kepimpinan, budaya kerja dan ‘trade craft’ PDRM di pelbagai agensi penguat kuasa, sekali gus mewujudkan keseragaman yang diyakini berupaya memperkukuh keutuhan organisasi serta meningkatkan keberhasilan negara.
“Barisan kepimpinan tertinggi dan seluruh warga Pasukan turut berasa bangga atas kepercayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan menerusi pelantikan Dato’ Sri Mohd Shuhaily sebagai pucuk pimpinan baharu yang akan menerajui AKPS,” ujar beliau.
Turut berlangsung ialah serah terima tugas Pengerusi PERKEP JSJ oleh Datin Sri Ennie Salina Roseli kepada pemangkunya, Datin Nurashidah Ishak dengan disaksikan oleh Datin Sri Hjh. Munirah Che Rose.
Hadir sama, barisan Pengarah PDRM, para pegawai kanan, ahli-ahli PERKEP dan rakan media. [ Red ]
Jurugambar: Sarjan Aslam Syir Khan Fairuz Khan dan Konstabel Syed Muhammad Hafiz Syed Alwi
More Stories
Pemerintah Kota Padang mulai mempersiapkan diri menghadapi Verifikasi Penilaian Kabupaten/Kota Sehat (KKS) Tahun 2025.
Tingkatkan Sinergi dengan Pemerintah Daerah, Kanwil Kemenkum Sumbar Lakukan Koordinasi Layanan Hukum di Kepulauan Mentawai.
Konser Spektakuler Fauzana di Pantai Carocok Painan Sukses Digelar, Pengamanan Ketat Polres Pesisir Selatan Kunci Kelancaran